Hong Kong Disneyland : Hari Pertama Yang Mengujakan!

Seperti yang dijanjikan sebelum ini, kami akan berkongsi dengan para pembaca keseronokan berada di Hong Kong Disneyland yang terletak di Pulau Lantau.

Perjalanan hari pertama krew OHBULAN! bermula pada jam 0625 menaiki kapal terbang ke Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong. Sesampainya disana pada jam 1025, kami bergegas menaiki tren dari lapangan terbang dan terus sampai ke terminal yang menghubungkan kesemua pengangkutan awam.

Ini adalah suasana dalam MTR dari lapangan terbang menuju ke Disneyland. Apa yang perlu anda tahu ialah, MTR ini adalah tren yang khas disediakan untuk menuju ke Disneyland.

Disana, krew OHBULAN! menaiki teksi berwarna hijau (Teksi Wilayah Baru) dan tambang kami dari lapangan terbang ke Disney’s Hollywood Hotel, Hong Kong berjumlah HK$ 115 (RM45). Sesampainya di hotel, kami terus ‘check-in’ ke dalam bilik yang sudah disediakan.Untuk pengetahuan, Disney’s Hollywood Hotel adalah hotel 5 bintang dan perkhidmatan yang diberikan sangatlah memuaskan hati pelanggan yang datang.

Kemudahan di bilik hotel ini sangatlah menarik sehinggakan ada saputangan yang telah mereka lipat secara kreatif dan suasana didalam bilik juga membuatkan anda seperti berada di alam Disney! Bukan setakat itu, pemandangan dari tingkap bilik hotel juga sangatlah cantik kerana ia menghadap ke arah laut dan dari situ, kami boleh melihat pemandangan pulau-pulau kecil di sekitar Pulau Lantau.

Jika anda mahu membeli barang-barang cenderamata Disneyland, di bahagian lobi ada disediakan kedai cenderamata untuk anda yang tidak sempat membelinya di taman hiburan Disneyland. Selain itu, terdapat juga restoran dan restoran untuk anda mengisi perut jika lapar. Maklumlah, cuaca disana kan sejuk.

Selepas menyiapkan diri, krew OHBULAN! telah dibawa menikmati hidangan tengahari di sebuah restoran yang terletak di sebuah lagi hotel berdekatan, Hong Kong Disneyland Hotel. Disana, kami disajikan dengan makanan yang lazat dan sesuai untuk semua golongan.

Sebagai info untuk anda, Hong Kong Disneyland terletak di Pulau Lantau dan berkeluasan lebih 55 ekar . Disneyland ini mempunyai 5 bahagian yang berlainan iaitu, Main Street USA, Adventureland, Tomorrowland, Fantasy Land dan juga Toy Story Land.

Paling terbaru dari Hong Kong Disneyland, mereka telah menubuhkan taman tema “Toy Story Land” pada 17 November 2011 dan ia bakal menjadi satu lagi daya tarikan bagi pengunjung-pengunjung Disneyland dari seluruh dunia. Apa yang menarik disini, Toy Story Land menggunakan pokok buluh sebagai rumput gergasi dan dihiasi dengan watak-watak dari filem animasi “Toy Story” yang telah diperbesarkan. Jika sebelum ini anda pernah pergi ke Hong Kong Disneyland, OHBULAN! rasa anda perlu datang kembali untuk menikmati keseronokan di bahagian ini, Toy Story Land.

Apa yang lebih menarik, “Toy Story Land” hanya ekslusif dibina di Hong Kong Disneyland dan ianya tiada dimana-mana Disneyland lain diseluruh dunia!

Untuk menuju ke Disneyland dari hotel, perjalanan mengambil masa tidak lebih 15 minit dan pengangkutan awam seperti bas dan teksi memang ada disediakan khas untuk para pengunjung Disneyland. Perkhidmatan “shuttle bus” disediakan percuma untuk para pengunjung tidak kira anda menetap di hotel ataupun tidak. Jadi, pengangkutan tidak akan menjadi masalah kepada kita untuk berseronok di Hong Kong Disneyland namun teksi masih tetap menjadi pengangkutan yang paling sesuai untuk anda. Sesampainya disana, kami dibawa menuju ke air pancut dan diberi masa untuk mengambil gambar kenangan.

Untuk pengetahuan, ini adalah kali pertama krew OHBULAN! menjejakkan kaki ke Disneyland. Dan ini merupakan satu pengalaman yang begitu berharga untuk berkongsi bersama anda. Sesampainya disana, kami terus menuju ke Main Street U.S.A. untuk menyaksikan “Flights of Fantasy Parade” yang bermula jam 1530 dan ia merupakan sebuah perbarisan yang sangat menghiburkan. Kami akan siarkan gambar perbarisan ini lebih lagi dalam entri seterusnya ya!

Selepas habis menonton perbarisan itu yang berlangsung selama hampir sejam, kami dibawa pula menonton sebuah persembahan, “The Golden Mickey” di Fantasyland.Persembahan yang bermula sekitar 1700 itu benar-benar memukau mata para penonton.Apa lagi kami yang mendapat peluang duduk di hadapan sekali.Dengan koreografi, muzik, dan nyanyian yang menarik hati, persembahan “The Golden Mickey” sememangnya sebuah persembahan bertaraf dunia. Jika anda pernah menonton dan meminati kartun seperti Tarzan, The Mermaid, Alladin dan macam-macam lagi ketika kecil, maka “The Golden Mickey” adalah tempat yang harus anda wajib pergi jika ke Disneyland Hong Kong!
Mari tonton sedikit sedutan dari persembahan The Golden Mickey selepas ini!

Kemudian, kami dibawa pula ke Adventureland yang menempatkan permainan dan hiburan yang berbentuk penjelajahan.Disana, kami menaiki “Jungle River Cruise” yang membawa para pengunjung bersiar-siar dengan suasana hutan dan haiwan-haiwan liar.Perjalanan menaiki bot itu diselangi dengan kapten bot yang bercerita dengan penuh semangat.Ia benar-benar menaikkan adrenalin kami.

Sehabis sesi “Jungle River Cruise”, krew OHBULAN! dibawa ke Toy Story Land, satu lagi bahagian didalam Disneyland Hong Kong yang baru saja dibangunkan pada tahun lepas. Apa yang menarik disini, pokok-pokok buluh ditanam seakan-akan rumput, kesemua watak Toy Story lebih besar dari saiz pengunjung dan ini mewujudkan suasana dimana para pengunjung merasa diri mereka lebih kerdil. Kesemua permainan hiburan yang ada di Toy Story Land haruslah dicuba kerana ia menjanjikan satu perasaan yang memuaskan.

Antara permainan yang wajib anda cuba ialah “Slinky Dog Spin”, “RC Racer”, dan juga “Toy Soldier Parachute Drop”. Saat krew OHBULAN! menaiki “RC Racer”, sememangnya terasa adrenalin didalam badan membuak-buak. Manakan tidak, hampir luluh jantung kami apabila kereta itu turun laju dari treknya. Tapi itu bukan masalahnya kerana apa yang pasti, anda akan merasa kepuasannya yang tidak terhingga.

Tidak kurang juga “Toy Soldier Parachute Drop”, jika anda belum pernah menaiki payung terjun, inilah saatnya anda mengambil peluang untuk menikmati perasaan ketika turun dengan payung terjun. Seakan dibuai angin, “Toy Soldier Parachute Drop” memberikan satu kepuasan tanpa perlu menaiki payung terjun yang sebenar.

Selepas selesai mencuba semua permainan, kami dibawa pula ke Main Street Corner Café untuk menikmati hidangan makan malam yang sememangnya telah ditempah khas oleh pihak Disneylan Hong Kong yang telah menaja perjalanan krew OHBULAN!.

Pada para pengunjung, tepat jam 2000, persembahan bunga api “Disney In The Stars” akan menyerikan lagi malam anda sebagai penutup kepada hari yang penuh kegembiraan. Apa yang pasti, pertunjukan bunga api selama hampir 15 minit ini benar-benar memukau dan mengasyikkan. Apa tidaknya, dengan berlatarbelakangkan istana Disney, bunga api meletup dengan penuh cantik dan memukau.

Sampai sini sahaja untuk laporan hari pertama di Disneyland Hong Kong! Ingin bercuti bersama keluarga, tak perlu pergi jauh-jauh. Perjalanan dari Malaysia ke Hong Kong hanya mengambil masa 3 jam 40 minit menaiki kapal terbang. Kami pasti ianya amat berbaloi pada anda yang suka melancong.

Maklumat lanjut, layari Hong Kong Disneyland sekarang!

Apa pun, mari lihat gambar – gambar menarik sekitar Disneyland Hong Kong dulu ya!


Artikel Asal

No comments:

Post a Comment